Saturday, December 24, 2011

    Sajak-Sajak
UNESCO

Rosli K. Matari






                                          Rosli K. Matari
























African Family with Their Newborn Baby, Angu Walters
(artcameroon.com).




Rosli K. Matari


APAKAH PULA REKOD PENJAJAHAN
DALAM BIDANG SOSIAL?
 

Penjajah memuji-muji pertambahan penduduk
Sudah meningkat 40 peratus,
Tetapi semuanya berguna
Untuk dijadikan segala jenis buruh.

Mereka merungut,
Kami miskin, berpenyakit, dan buta huruf
Tetapi aneh, lombong dan ladang mereka
Terletak di negara mundur ini.

Emas, apa sahaja yang dilombong
Tanaman, apa sahaja yang dipetik
Akan dibawa pulang ke Eropah.

Bahkan, tanah Afrika ini
Dua puluh tahun lamanya
Juga mereka punggah pulang,
Sedikit demi sedikit.

Yang mereka tinggalkan untuk kami
Hanyalah lalat tsetse ini sahaja.


1 Nov 2009



Sajak  ini terilham oleh esei bertajuk “Warisan Penjajah” yang ditulis oleh Albert Adu  Boahen dalam Kurier Unesco, Julai 1984. Boahen dari Ghana ialah profesor dan ketua Jabatan Sejarah di Universiti Legon, Ghana. Tajuk sajak ini adalah untuk menghargai dan dipetik daripada baris ayat dalam esei beliau.    


















   
          



                                                                                      
                                                                
 Olive Tree I, ©Miriam Escofest (miriamescofest.com)
                                                                                                                                                            


Rosli K. Matari

KITA HENDAKLAH BELAJAR DARIPADA
PENGALAMAN DAN MENGELAKKAN
SECARA SISTEMATIK DARIPADA
MENGULANG KESALAHAN KITA  
YANG LALU     



Dahulu pokok itu
Sudah kaubawa pergi.
Ya, lama dahulu.
Entah ke mana…
Tidak pernah kaubawa pulang lagi
Pokok itu.

Sekarang kaudatang
Membawa sebuah zoo pula
Sambil mencari-cari ulat bulu,
Sarang burung, dan entah apa.

Terbongkok-bongkok
Dan sesekali mendongak,
Kau mencari-cari …

Dari jauh,
Aku hanya mendengar
Kau berkata:
“Maafkanlah, aku
Maafkanlah, aku!”

Entah apa yang kaurungutkan,
Aku tidak tahu.

Yang aku tahu,
Pokok itu dahulu
Sampai sekarang
Masih belum pulang-pulang lagi.


Sajak ini terilham oleh Rencana Pengarang dalam Kurier Unesco, Bil. 6, 1984. Tajuk sajak ini adalah untuk menghargai dan dipetik daripada salah satu ayat dalam rencana tersebut.        








©cmaille.wordpress.com


                                                               
Staircase©Jean-claude Berens (moonfountain.wordpress.com)








Rosli K. Matari


“MASA ADALAH CIPTAAN.
JIKA TIDAK, IA KOSONG SEMATA-MATA.”
-          Henri Bergson


Kami tahu,
Tuan selalu berada di hadapan
Dan kami tidak akan berupaya
Untuk memintas Tuan
Walau sesaat lebih awal.

Kami juga tahu,
Jika tanpa gerak dan bunyi
Atau tiada sesuatu dilakukan,
Tuan akan berlalu dengan kosong
Ke belakang kami,
Bagai angin yang tidak membawa
Debu.

Dan kami juga tahu,
Kelak ketika kami sudah mati
Tuan akan melintas
Di hadapan kerangka kami
Sambil berlenggang
Dan bersiul-siul girang,
Bagai angin sedang menghembus
Debu.

25 Nov 10

Sajak ini terilham oleh catatan Rencana Pengarang dalam Kurier Unesco, Bil. 7, 1991. Tajuk sajak ini adalah untuk menghargai dan dipetik daripada baris ayat dalam rencana tersebut.




















Rosli K. Matari



NAMUN, PENDIDIKAN ALAM SEKITAR
MASIH TERPINGGIR,
WALAUPUN ADA SEDIKIT PENGECUALIAN


Berikanlah gunung
Kepada murid darjah satu.

Masukkan sungai
Ke dalam beg sekolah mereka.

Tampalkan pokok
Di papan putih.

Ajar mereka mengeja
Perkataan air terjun.

Ajar mereka melukis
Bulan, pantai, dan bukit.

Ajar mereka mewarna
Dugong dan cicak kubin.

Waktu rehat
Ajak mereka ke gurun.

Kerja rumah mereka
Harus mengandungi awan.

Di atas meja makan
Harus ada ombak.

Mereka bebas bermain
Dengan angin di lembah.

Kalau mereka ingin menyanyi
Menyanyilah bersama hujan.

Bawalah mereka melancong
Ke dalam gua.

Bawalah mereka mencari
Pelangi dan aurora.

Mereka boleh membawa
Mentadak ke dalam bilik tidur.

Suruhlah mereka ucapkan
Selamat malam kepada tasik.

Dan 
Mereka tidur dengan bintang.

Sajak  ini terilham oleh esei bertajuk “Pendidikan Dewasa untuk Esok” yang ditulis oleh Christopher McIntosh dalam Kurier Unesco, Bil. 9/10 (September/Oktober) 1997. McIntosh dari United Kingdom ialah ketua penerbitan dan maklumat di Institut Pendidikan UNESCO di Hamburg (Jerman) dan Editor Eksekutif untuk International Review of Education. Tajuk sajak ini adalah untuk menghargai dan dipetik daripada baris ayat dalam esei beliau.




Musical Notes Staff Background
©(123rf.com).


Rosli K. Matari


PUISI KEPADA AIME CESAIRE 

Kaumuncul dari Martinique
              membawa puisi-puisi hitam.

Puisi muncul dari dalam
              dengan tenaga yang kuat.

Seperti gunung berapi
             ia bumi dan ia api.

Kemarahan kosmik
             kemarahan kreatif.

Menjelmakan revolusionari
            daripada kuasa kata-kata.

Betapa tidak!
            ya, betapa tidak!

Kau diciptakan daripada
           tanah dan sungai Afrika.

Afrika!
           Afrika!

Bumi tidak seharusnya
            menjadi peta kolonialisme.

Katamu, kita amat jauh daripada
             kehidupan tenang dan romantik.

Kautahu, tanah ini bergelora, marah
             menghamburkan dan memuntahkan kehidupan.

Ya, sekali lagi
            tentang gunung berapi!


1997.

Sajak  ini terilham oleh sebuah wawancara dengan Aime Cesaire yang termuat dalam Kurier Unesco. Sayangnya, saya tidak ingat lagi akan tajuk dan nama penulis wawancara serta tarikh terbitan majalah ini, justeru majalah ini sudah tiada lagi dalam simpanan saya. Sajak ini adalah untuk menghargai Cesaire, malah beberapa ungkapan dalam sajak ini adalah berdasarkan wawancara tersebut.



Red and Black, 2007
(www.thousandsketches.com).





Rosli K. Matari



TIDAKKAH TERDAPAT APA-APA CARA
UNTUK MENGELAKKAN MANUSIA
DARIPADA ANCAMAN PEPERANGAN?




Bintang berkerdipan, indah
Mengalir ke muara bersama sungai.

Air laut yang tersimpan di dalam botol
Masih tetap membiru.

Daun berbagai-bagai warna
Bertebaran, melintas di hadapan muzium.

Dari jauh, terdengar suara ilalang
Ambillah aku menjadi atap rumah.

Burung hantu di atas peti surat
Sedang belajar bersiul.

Tidak ada alat pendingin hawa
Memadailah angin, biola, dan bunga.

Ada kapal dari zaman bahari
Baru tiba di pelabuhan.

Pengemudinya malu-malu bertanya,
“Adakah kami tersangat lewat sampai?”

Sesekali, memang terdengar suara peluru
Meraung-raung di dalam penjara.

Sepohon bunga, entah apa namanya
Menjengok dari luar jendela.

Wah, sekarang buluh pula
Ingin menjadi bonsai.

Satu-satunya yang masih bersedih
Hanyalah buku sejarah.

Hujan turun penuh warna-warni
Diiringi dengan muzik violin.

Sampaikanlah pesanan kepada tasik
Jangan bimbang, bulan tetap ada.

Embun sedang bergambar
Untuk menghiasi majalah dan poskad.

Beberapa helai pakaian yang dijemur
Ingin merasai diterbangkan angin.

Segala serpihan kaca sudah dikutip
Untuk dijadikan kolaj sangat cantik.

Kata jarum panjang jam,
Aku hanya ingin – tidur dan berdengkur.


5 Dis 09

Sajak ini terilham oleh surat Albert Einstein kepada Sigmund Freud, bertarikh 30 Julai 1932, yang disiarkan dengan tajuk “Mengapa Berperang?” dalam Kurier Unesco, Bil. 7 (Julai) 1985. Tajuk sajak ini adalah untuk menghargai dan dipetik daripada salah satu ayat dalam surat beliau.














                                                                               Hammers2, 2007
©www.thousandsketches.com









KEIZINAN

Sajak-sajak dalam koleksi ini boleh dipetik (sebahagian atau keseluruhannya), atau diterjemahkan – dalam sebarang bentuk media, jika ada mana-mana penulis, penyelidik, pengkritik, penterjemah, peminat puisi, atau individu yang berminat untuk berbuat demikian, tanpa perlu menulis atau menghubungi saya bagi mendapatkan keizinan. Saya mengucapkan terima kasih yang tersangat dalam atas segala usaha tersebut di atas.



BIODATA

Rosli K. Matari pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1988/1989, hadiah utama dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu – Public Bank1990, 1991, 1992, 1993, dan hadiah penghargaan pada tahun 1995, serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/1997.